hidup ini

Ya Allah kurniakan aku dan keluargaku syafaat Rasulullah s.a.w pada hari akhirat nanti....

Search This Blog

Total Pageviews

Tuesday, June 14, 2011

Sejarah Kerjasama UMNO-PAS

Sejarah Kerjasama UMNO-PAS
Ditulis oleh admin
Selasa, 10 Ogos 2010 11:08

Ada teori yang mengatakan bahawa kelahiran Pas adalah dari tulang rusuk Umno seumpamanya terciptanya Hawa dari tulang rusuk Adam a.s. Atas dasar ini Pas sebagai ‘anak’ kepada Umno tidak sepatutnya menentang bapa atau ibu yang ‘melahirkannya’. Al-Quran dengan jelas membenarkan anak menentang bapa ibu sekiranya bapa ibu menentang Allah SWT.

Atas dasar inilah Ketua Biro Agama Umno Ahmad Fuad bertindak keluar dari Umno dan menubuhkan Pas. Asas tindakan Ahmad Fuad adalah beliau tidak setuju apabila Umno (di bawah Tengku Abdul Rahman) memperkenalkan dan menghalalkan judi atas nama Loteri Kebajikan Masyarakat. Mana mungkin sesuatu yang haram boleh bersifat ‘kebajikan’. Atas kesedaran yang sama, apabila Najib menghalalkan judi, sepatutnya ‘ulama-ulama’ dalam Umno secara berbondong-bondong keluar Umno dan mengisi borang keahlian Pas.

Walaubagaimanapun, sejarah politik Malaysia memperlihatkan kepada kita bahawa kerjasama antara Umno-Pas memang betul-betul berlaku pada tahun 1973 atas nama Kerajaan Campuran di Kelantan; akhirnya Pas juga menyertai Barisan Nasional. Kerjasama ini terbentuk hasil dari Peristiwa 13 Mei 1969, di mana kelangsungan politik Melayu dikatakan tercabar.

Maka Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri ketika itu memohon bantuan dari Dato’ Asri, Yang Dipertua Pas. Hasil daripada beberapa perbincangan dan mesyuarat, maka wujudlah kerjasama yang dimaksudkan. Apa yang hendak ditekankan di sini ialah dalam keadaan yang begitu tersepit, Umno masih mempamerkan ketidakikhlasan mereka semasa merunding kerjasama politik ini.

Ketidakikhlasan Umno dalam rundingan ke arah kerjasama politik dapat dihidu oleh Pas apabila tersebar kenyataan tertutup Tun Abdul Razak dan Mohd Khir Johari bahawa dengan kerjasama ini Pas akan lemah kerana Pas ‘akan masuk kain sarung Umno’. Kenyataan tertutup Tun Razak dan Mohd Khir Johari ini dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Agung Pas pada 24 November 1972.

Berikutan dengan ini, Dewan Ulama Pas mengadakan Muzakarah Khas dengan para ulama seluruh Negara pada 4 Disember 1972. Hasil mesyuarat mendapati 9 ulama yang mengharamkan kerjasama dan 14 mengharuskannya.

Berpegang kepada keputusan inilah Dato’ Asri berhujah secara bersungguh-sungguh dalam ucapan dasarnya di Mesyuarat Agung Tahunan Pas ke-18 yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 28 dan 29 Julai 1972. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan ini, satu usul telah diterima oleh perwakilan memberi mandat kepada Jawatankuasa Agung Pas merunding kerjasama dengan Umno dengan syarat ia tidak mengorbankan prinsip-prinsip perjuangan Pas. Akhirnya usul ini dilulus dengan 142 perwakilan menyokong, 50 membangkang dan 16 berkecuali.

Apabila terbentuknya Kerajaan Campuran, sekali lagi Umno memperlihatkan ketidakikhlasannya dalam peristiwa pelantikan Menteri Besar baru Kelantan yang melibatkan Dato’Mohd Nasir, kerana pada pandangan Umno Mohd Nasir senang dimanipulasi bagi memenuhi tujuan politik Umno. Hasilnya berlakulah pergolakan dalaman Pas dan berakhir dengan peristiharan darurat oleh Kerajaan Pusat. Mohd Nasir keluar dari Pas dan menubuhkan parti baru iaitu BERJASA. Sebagai protes, Pas menarik diri dari bekerjasama dengan Umno.

Dalam pilihanraya Dun Kelantan pada 1978, Pas mengalami kekalahan yang teruk dan Umno mengambil alih pentadbiran Kelantan. Peristiwa ini amat menepati kenyataan tertutup Tun Razak dan Mohd Khir Johari yang dirujuk sebelum ini iaitu dengan terbentuknya kerjasama politik maka Pas akan lemah dan “masuk dalam kain sarung Umno!”

Kecurigaan Pas dalam konteks kerjasama Umno-Pas amat difahami kerana tindak-tanduk Umno memberi isyarat sebaliknya. Ahli-ahli Pas juga cukup arif dengan Hadis yang menyebut bahawa orang beriman tidak akan membiarkan diri mereka dipatuk oleh ular yang sama juga dalam lubang yang sama.

Perpecahan umat Islam berlaku sepanjang sejarah Islam. Para Rasul Allah senantiasa dilabel oleh penentang-penentang mereka sebagai individu yang bertanggungjawab memecah-belahkan masyarakat kerana ajaran yang dibawa oleh para Rasul. Adalah mustahil untuk kita katakan bahawa dalam hal ini para Rasul Allah yang maksum berada di pihak yang bersalah. Pas sebagai sebuah gerakan Islam yang didokong oleh para ulama adalah merupakan salah satu mata rantai (pewaris) dari perjuangan para Rasul Allah ini.

Mereka yang menggunakan hujah ‘perpecahan masyarakat Islam’ selalunya merujuk kepada firman Allah Surah Al-Imran, ayat 103 yang bermaksud : “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai…” Mesej daripada ayat ini amat jelas.

Perpecahan di kalangan umat Islam akan berlaku sekiranya umat Islam tidak ‘berpegang teguh’ kepada Islam. Apa yang dimaksudkan dengan ‘berpegang teguh’ dengan agama Islam ialah meyakini dengan sepenuh keikhlasan tentang kebenaran ajaran atau syariat Islam.

Tidak ada keraguan sebesar zarah pun dalam hati umat Islam tentang kebenaran syariat Allah kerana Allah yang maha Bijaksana.

Dalam hal ini Umno nampaknya berdepan dengan masalah. Adanya segolongan orang Islam yang kurang yakin sepenuhnya dengan syariat Islam dan dalam saat yang sama adanya segolongan orang Islam yang yakin sepenuhnya dengan syariat Islam akan menjadi sebab-musabab berlakunya perpecahan dalam masyarakat Islam.Faktor asas bagi menjamin kerjasama dan seterusnya perpaduan Islam ialah keyakinan yang tidak berbelah bagi terhadap syariat Islam dan keikhlasan dalam hal ini perlu dibuktikan dengan perbuatan. Selagi initiatif ke arah ini tidak berlaku maka selagi itulah perpecahan dalam masyarakat Islam akan berlaku.

Sedutan Rencana di atas ditulis oleh Wan Abdul Rahman, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS. Rencana penuh boleh diperolehi daripada akhbar Harakah, bilangan 1563


No comments: